KANTA LEKAP!
kanta yang dipakai terus pada mata bagi memperbetulkan kecacatan
refraksi. Secara amnya, terdapat tiga jenis kanta lekap iaitu keras, separa
keras dan lembut.
Bagi
kanta lekap keras dan separa keras, ia dipisahkan oleh selapisan cecair air
mata manakala bagi kanta lekap lembut, ia hampir bersentuhan atau melekap pada
lapisan epitelium kornea mata.
Kanta
lekap digunakan terutamanya untuk menggantikan cermin mata bagi memperbaiki
kecacatan tetapi ia mungkin juga digunakan untuk perlindungan dalam beberapa
jenis penyakit kornea.
Memang
tidak dinafikan, kewujudannya telah banyak membantu meningkatkan ketajaman
mata, selain penggunaannya yang memberikan lebih keselesaan kepada si pemakai.
Bayangkan
seorang ahli sukan seperti pemain bola sepak yang terpaksa berprofesion dengan
menggunakan kaca mata. Sukar, bukan?
Di
samping itu, terdapat juga trend kanta lekap berwarna untuk mereka yang bermata
normal sekadar `berseronok-seronok'.
Misalnya,
pemakai, terutamanya wanita moden yang ingin tampil bergaya boleh menukar kanta
sesuai warna baju atau mekap.
Selain
berperanan besar sebagai alternatif dalam membantu gangguan penglihatan,
pemakaian kanta lekap bagaimanapun mempunyai risikonya yang tersendiri jika
tidak betul cara-cara penggunaannya.
Optometris,
Menara Optometry Centre, Salhanizatul Shahreen Salman berkata, ada sejumlah
penyakit yang menyerang si pemakai.
``Gangguan
kesihatan mata yang sering terjadi adalah iritasi (kegatalan) disebabkan oleh
jangkitan mata.
``Bahkan ada yang mengalami kebutaan disebabkan oleh infeksi tersebut,'' katanya.
Menurutnya, sebahagian besar jangkitan mata berpunca daripada perawatan dan pemeliharaan kanta lekap yang tidak baik.
Justeru, bagi mereka yang memilih untuk memakai kanta lekap, tiada perkataan malas dalam hidup mereka.
Di samping itu, pemakai juga hendaklah mendisiplinkan dirinya agar aspek kebersihan mata, malah tangan dan udara di sekelilingnya, benar-benar terjaga.
Salhanizatul menjelaskan, tangan harus dicuci bersih semasa memasang kanta lekap agar tiada bakteria yang turut masuk ke dalam mata.
``Pada dasarnya, kanta lekap adalah menempelkan benda asing ke mata.
``Dengan demikian, ia berpotensi mengganggu keseimbangan mata terutamanya jika tidak dibersihkan mahu pun ditanggalkan sebagaimana waktu yang telah ditentukan,'' katanya.
Jelasnya, mata juga memerlukan oksigen.
Pada malam hari, kadar oksigen akan berkurangan sehingga satu pertiga ketika mata tidak berada dalam keadaan tidur pada siang hari.
Sehubungan itu juga, lapisan permukaan mata cenderung mengalami pembengkakan terutamanya pada waktu pagi.
Ini kerana, mata lebih mudah tergores, teriritasi oleh kanta lekap dan biasanya mula menunjukkan gejala-gejala mata merah.
``Kalau nampak mata merah sahaja, terus tanggalkan kanta lekap kerana jika tidak, mata berpotensi dijangkiti kuman.
``Jika kuman pula kebetulannya dari jenis yang sangat berjangkit, permukaan selaput mata akan bertukar putih dalam masa 24 jam,'' katanya.
Kanta
lekap yang dibawa tidur, tambah Salhanizatul, ternyata mudah mengakibatkan
komplikasi dan amat disarankan agar ia ditanggalkan terlebih dahulu.
Di
samping itu, penularan jangkitan kornea mata juga boleh bersumber daripada
tempat penyimpanan kanta lekap yang tidak dibersihkan selama berhari-hari dan
menjadi tempat pembiakan bakteria.
Berikut
adalah beberapa komplikasi akibat pemakaian kanta lekap:
*
Superficial punctate keratitis (SPK): Permukaan kornea mata rosak. Biasanya
disebabkan oleh pemakaian yang terlampau ketat sehingga menyebabkan mata
kekurangan oksigen (hypoxia), alergi, atau keracunan.
Gejalanya:
Pemakai merasa tidak selesa, menjadi sangat sensitif pada cahaya (fotofobia),
dan adanya bintik-bintik di kornea mata.
Rawatan:
Mengurangi atau menghentikan pemakaian kanta lekap.
*
Alahan: Radang atau iritasi kerana dimasuki bahan-bahan pembawa alahan seperti
debu, serbuk atau makanan ke dalam mata.
Gejala:
Rasa gatal, mata merah, hingga kelopak mata membengkak. Umumnya, alahan terjadi
secara bermusim dan pemakai memang mempunyai sejarah alahan.
Rawatan:
Hindari penyebab alahan, menghilangkan bengkak di mata dengan kompresi air
dingin. Apabila terjadi keradangan, ubat antiradang boleh diberikan manakala
alahan boleh diredakan dengan ubat alahan, antihistamin.
*
Sindrom mata kering (keratoconjunctivitis sicca): Timbulnya bintik (keratitis)
kronik pada kornea bawah.
Komplikasi
ini disebabkan oleh perembesan air mata pemakai yang tidak mencukupi.
Gejalanya:
Mata seperti terbakar, air mata sering keluar, dan cairan di mata berlebihan.
Rawatan:
Suplemen air mata atau menggantikan kanta. Sekiranya tidak berhasil, hentikan
pemakaiannya.
*
Kornea edema: Cairan dalam kornea menjadi berlebihan sehingga menimbulkan stres
pada kornea, biasanya disebabkan oleh mata kekurangan oksigen.
Gejala:
Fotofobia, penglihatan menjadi kelam, mata merah, tidak selesa semasa kanta
lekap ditanggalkan, pembuluh darah kelihatan lebih jelas dan timbul SPK.
Rawatan:
Menambah oksigen pada mata. Kurangkan atau menghentikan pemakaian kanta lekap.
*
Infiltrates: Keradangan pada jaringan mata disebabkan oleh kanta lekap yang
kurang bersih, oksigen yang kurang, tindak balas alahan hingga menimbulkan
jangkitan.
Gejala:
Biasanya, ia kelihatan seperti sekelompok sel berwarna putih. Penglihatan
berkurang, mata merah, fotofobia dan timbul bintik putih di mata.
Komplikasi
ini diatasi dengan menghindari pemakaian kanta lekap semasa sedang aktif, kerap
menggantikan kanta lekap, antibiotik/steroid dan memberikan penekanan terhadap
cara pembersihan kanta lekap.
*
Jangkitan: Kontaminasi organisme berbahaya ke dalam mata seperti bakteria, kulat,
protozoa dan virus.
Gejala:
Mata merah, kelopak mata melekap, air mata meleleh, kurang penglihatan dan
bintik pada kornea.
Rawatan:
Menjaram dengan air dingin, menggunakan air mata buatan, dan terapi antibiotik,
jika perlu.
*
Microbial keratitis: Masuknya organisme berbahaya dalam kornea mata seperti
bakteria, kulat, protozoa dan virus hingga mengakibatkan pembengkakan.
Gejala:
Sakit pada mata, fotofobia, air mata berlebihan, mata merah, dan penglihatan
berkurang. Jika sudah parah, mata mengeluarkan nanah.
Rawatan:
Terapi antibiotik, penggantian kanta lekap.
*
Vaskularisasi kornea: Pembentukan pembuluh darah dalam jaringan avaskular
(kornea). Seringkali disebabkan oleh kekurangan oksigen oleh pemakaian kanta
lekap yang terlampau ketat.
Gejala:
Kurang penglihatan serta timbul pembuluh darah di kornea.
Rawatan:
Kurangkan pemakaian kanta lekap atau menggantikannya dengan kanta lensa yang
menyokong oksigen sepenuhnya.
* Giant papillary conjunctivitis (GPC): Keradangan papilari pada kelopak atas
mata. Penyebabnya masih belum diketahui hingga kini walau ada yang
mengaitkannya dengan pemakaian kanta yang berpanjangan.
Gejala:
Gatal-gatal, penglihatan berkurang, kanta lebih banyak bergerak-gerak, tidak
boleh memakai kanta biasa dan kelopak bengkak.
Rawatan:
Kurangkan pemakaian kanta, menjaram air dingin, berjumpa doktor mata dengan
segera.
Justeru,
kata Salhanizatul, mencegah timbulnya komplikasi akibat pemakaian kanta lekap
adalah jauh lebih baik daripada mengubati.
``Setiap
individu yang memakai kanta lekap berpotensi menghidapi komplikasi-komplikasi
tersebut sekiranya penjagaan kanta lekap dipandang remeh.
``Oleh
itu, kekerapan membersihkan kanta lekap serta jangka masa pemakaiannya
sebagaimana yang disarankan perlulah dititikberatkan bagi mengelak sebarang
kemungkinan. Sayangilah mata anda,'' katanya.
Tip
membersihkan kanta lekap:
*
Cuci tangan sebersih-bersihnya dan keringkannya terlebih dahulu sebelum
menyentuh kanta lekap
*
Gantikan kanta lekap sebaik mata mulai berasa tidak selesa kerana ia menjadi
petanda kanta sudah berada dalam keadaan yang tidak baik untuk membantu
penglihatan
*
Jangan sembarangan memakai larutan pembersih kerana produk pembersih yang tidak
tepat dapat membahayakan mata
*
Sewaktu membersihkan kanta lekap, gosok dengan hati-hati. Letakkan kanta di
telapak tangan anda dan usap secara perlahan-lahan
*
Simpan kanta lekap di tempat penyimpanan khusus yang sedia mengandungi agen
pembasmi kuman, disinfektan
*
Jangan biarkan mulut botol pembersih tersentuh sebarang permukaan lain atau
dibiarkan terbuka untuk menghindari pencemaran.
credit to : info kesihatan.com
No comments:
Post a Comment