rEadEr :)

Friday, May 22, 2015

Persoalan tentang Qada' Solat Subuh

Assalamualaikum...

Ya Allah, rindu nak update blog ni..Dah lama rasanya tinggalkan dunia blogging ni disebabkan waktu kerja yang tak mengizinkan. Hari ni masa solat zohor tadi, terus solat qada' subuh sebab pagi tadi terlena lebih pulak sampai jam bunyi pun tak sedar dah.. Then bila naik tangga nak masuk office balik dari surau tu terdetik pula keraguan. Betul ke boleh untuk qada' solat subuh lepas solat zohor? atau kena solat sejurus setelah bangun dari tidur? Tapi kalau bangun dah lambat nak pergi kerja macam mana pula?

Lepas tu terus Google lah..(sebaiknya untuk mencari jawapan sahih harus bertanya terus kepada ahli ulama' atau utaz/ustazah yang bertauliah). Ini antara hasil jawapan dari laman web Darul Numan.

Jelas jawapan berdasarkan soalan.
Jadi lepas ni dah tak boleh nak qada' lepas zohor kalau ada waktu untuk solat subuh selepas terjaga dari tidur... semoga berguna juga pada korang..

Tapi! qada' bukan terhad pada solat subuh sahaja.. kita juga boleh meng-qada' solat fardhu yang lain waktu kita lalai(muda) atau tertinggal...

Wallahualam...

Soalan-soalan:

1. Mengqada'kan Solat
Soalan
Adakah perlu mengqada' solat fardhu yang telah ditinggalkan atau cukupkah dengan bertaubat sahaja?
Abdullah, KL
Jawapan
Pengertian qada' menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah pula ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada'kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie' dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur.
Mereka yang meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Wajib ke atasnya mengqada' semula solat-solat yang telah ditinggalkan.



2. Masa Mengqadha' Solat
Soalan
Bilakah tepat masanya yang sesuai untuk kita mengqadha' solat fardhu?
Jaffa, Singapura
Jawapan
Para ulama sepakat bahawa mengqadha' solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: "Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar". Orang yang pengsan, tidak perlu mengqadha' solatnya, kecuali bia ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.
Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka menurut mazhab Jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha'. Sebaliknya Ibnu Taimiyah berkata: "Orang yang sengaja meninggalkan solat, tidaklah diperintah oleh syarak mengqadha' dan jika diqadha' juga maka tidak sah, hanya ia harus memperbanyak solat sunat".
Kemudian menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafei berpendapat bahawa ia harus mengqadha' bila waktunya habis, bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqadha' sebelum solat yang waktunya hadir, ini bila yang sengaja ditinggalkan itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Namun kalau lebih dari lima waktu, maka dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.



3. Tertidur Waktu Solat Subuh 
Soalan
Saya mendengar ada orang mengatakan kalau kita terlewat bangun waktu Subuh lalu waktu Syuruk telah lepas, kita boleh terus sembahyang Subuh tanpa perlu niat Qadha'. Betulkah Ustaz? Kalau boleh Ustaz tolong jelaskan?
Abdullah, KL
Jawapan
Jika kita terlewat waktu subuh kerana tertidur, sedangkan waktu syuruk telah lepas ataupun matahari telah terbit, maka ketika terjaga tersebut segeralah mengerjakan solat Subuh. Tidak perlulah kita berniat qadha', sebab terlepas sesuatu hukuman tersebut lantaran bukan sengaja. Namun jika kita mengetahui telah masuknya waktu subuh tetapi kita meneruskan tidur, maka perkara ini jelas berdosa.



4. Terlewat Solat Subuh
Soalan
Saya telah terlewat bangun untuk mengerjakan sembahyang subuh sehingga luput waktunya, bolehkah saya mengerjakan sembahyang subuh itu walaupun telah luput waktunya atau saya perlu mengqadanya bila waktu zuhur?
MS, Shah Alam
Jawapan
Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa. Ini kerana solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang menunaikannya bererti telah mendirikan agama dan sesiapa yang mencuaikannya bererti meruntuhkan agama. Namun begitu bagi orang yang tertinggal solat bukan dengan cara sengaja seperti bangun subuh lewat dari waktunya, maka yang terlibat tidak berdosa.
Bagaimanapun ia dikehendaki segera mengqada'kannya tanpa menunggu masuknya waktu zohor. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih yang menjelaskan Allah SWT tidak mengambil kira amalan yang dilakukan oleh umat Muhammad yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau terpaksa.



5. Mengqada Solat yang Tertinggal
Soalan
Bagaimanakah caranya untuk mengqadakan sembahyang yang tertinggal, dan apakah niatnya?
Azham,Sg Petani
Jawapan
Para ulama sepakat bahawa mengqada solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur. Begitu juga meninggalkan solat dengan sengaja maka menurut mazhab jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie, orang yang meninggalkan solat wajib mengqadanya. Bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqada sebelum solat yang waktunya hadir. Ini bila solat yang ditinggalnya itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Tetapi kalau lebih dari lima waktu, maka supaya dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.
Mengenai niat, cukup dengan menanamkan niat dalam hati bahawa solat yang akan kita kerjakan itu merupakan solat qada dari solat-solat tertentu yang tertinggal.




Ok, apa yang mesti kita tahu tentang cara atau bagai mana mahu qada’ solat?

Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada' solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada' solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja.

Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada' solat yang ditinggalkan walaupun Baginda s.a.w. tidak tertidur atau terlupa.

Qada' ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qada' “waktu kita”.

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Hadith riwayat Muslim)

Cara niat Qada' bagi solat fardu lima waktu pula ialah:

1. Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

2. Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

3. Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

4. Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

5. Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala"

Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada' semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?

Jawabnya, Wajib qada' solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada', pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qada'kanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.


Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada' dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada' kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada', buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.

Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada' semua solat itu (tetapi sudah buat solat taubat) bagaimana?

Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada' kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah s.w.t, akan tetapi jika kita telah benar2 insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah s.w.t, in sya Allah akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada' solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t.



kredit: nasbunnuraini

No comments:

Post a Comment